Berita

Promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

FARY (kanan) berkongsi perancangan PL bersama Pemimpin masyarakat tempatan.
- Diterbit 17 Januari 2020 1:40 AM MYT

LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) bakal menganjurkan Anuge­rah Rakan Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Ketua Pegawai Eksekutifnya­, Dr. Fary Akmal Osman berkata, anugerah yang bakal diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad itu menyediakan lima kategori iaitu kategori hotel, restoran, media, jabatan kerajaan dan individu.

“Para peserta akan dinilai berdasarkan kriteria seperti aktif mempromosi Labuan, menyediakan pelbagai makanan menarik kepada para pelancong, memberi sokongan dan aktif mengadakan program-program pelancongan serta mempunyai produk-produk yang berkua­liti sebagai tarikan pelancong ke Labuan sempena VM 2020.

“Penyertaan akan mula dibuka selepas pengumuman yang dilakukan pihak Menteri Wilayah Persekutuan dan ditutup selepas sambutan Hari Malaysia tahun ini,” katanya.

Selain itu katanya, PL bakal mengadakan pelbagai acara dalam masa terdekat bagi menarik kedatangan pelancong.

“Kita akan adakan Pertandingan Kampung Cantik dan peruntukan awal telah disalurkan kepada Ketua-Ketua Kampung untuk memulakan kerja-kerja mencantikkan kampung di­samping terdapat beberapa kampung yang sudah mula melaksanakan persiapan se­perti Kampung Patau-Patau 1 dan kita harap kampung lain terlibat aktif dalam program ini.

“PL juga sedang memberi imej baharu kepada Hotel Labuan yang terbiar sebagai salah satu tarikan pelancong dengan mengadakan acara seperti pertunjukan lampu, memasang bendera gergasi dan poster agar ia menjadi lokasi mengambil gambar kepada pelancong serta penduduk tempatan.

“Pada bulan Mac, kita juga bakal menganjurkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Siri 2 dan pada yang sama menerima kunjungan seramai 20 duta besar dari Kuala Lumpur,”jelasnya yang ditemui selepas mengadakan Program Cruise Trip bersama Ahli Majlis Penasihat PL, Pengerusi-Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan rakan-rakan media, baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas