Berita

Projek penempatan semula rumah nelayan di Labuan dimuktamadkan tidak lama lagi

EMPAT buah keluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran Kampung Rancha-Rancha pada Jun lalu menerima bantuan wang ehsan bernilai RM9,000, hari ini.
- Diterbit 8 Julai 2021 9:29 AM MYT

PROJEK penempatan semula rumah nelayan di Kampung Belukut di sini, kini dalam fasa dimuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman.

Beliau berkata, setelah perjanjian itu ditandatangani, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyalurkan peruntukan projek tersebut sejumlah RM16 juta kepada PL.

“Setelah menerima peruntukan itu, kita (PL) akan melaksanakan kerja-kerja membuat jalan masuk dan Majlis Pecah Tanah pada tahun ini.” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan wang ehsan bernilai RM9,000 kepada empat buah keluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran Kampung Rancha-Rancha pada Jun lalu, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penempatan semula rumah nelayan dari perkampungan atas air Kampung Rancha-Rancha, Fary berkata nelayan yang tinggal di perkampungan atas air itu akan diberikan penempatan baharu kerana penempatan sekarang ini terletak berhampiran zon industri minyak dan gas.

“Kejadian kebakaran baru-baru ini menampakkan isu-isu keselamatan dan bahaya yang terdedah kepada penduduk di kampung ini.” katanya lagi.

Terdahulu, projek penempatan semula rumah nelayan yang bernilai RM16 juta itu bakal membabitkan pembinaan sekurang-kurangnya 100 buah rumah akan dilaksanakan pada tahun ini. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas