WK2

Projek Inisiatif Hijau bantu kendali sisa organik

HASIL sayur yang telah dimakan oleh Larva Lalat Askar dan akan diproses menjadi baja.
- Diterbit 14 Jun 2019 6:41 AM MYT

MENYEDARI sisa buangan organik di Pasar Borong Kuala Lumpur sangat tinggi, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil dengan Projek Inisiatif Hijau untuk melupuskan sisa berkenaan sekali gus mengurangkan kos pelupusan, malah pada masa sama dapat mengekalkan kelestarian alam.

Ini kerana, dianggarkan 160 tan sisa dijana di Pasar Borong Kuala Lumpur setiap hari yang mana 80 peratus daripadanya adalah sisa organik. Daripada jumlah itu, purata 666 kilogram sisa organik daripada sayur-sayuran dan buah-buahan dibuang oleh pihak pemborong hasil daripada aktiviti penyisihan bahan mentah itu sebelum membawanya keluar untuk dijual secara langsung kepada orang ramai.

Difahamkan, pelaksanaan projek di Pusat Sisih Konsortium Pasar Borong, Kuala Lumpur yang bermula awal April lalu berjaya mengurangkan kos pengurusan sebanyak RM5,000 bagi setiap 10 tan sisa organik. Ia merangkumi kos pengangkutan, kos bayaran tipping di pusat transit Taman Beringin dan juga Tapak Pelupusan Bukit Tagar, Selangor.

Malah dianggarkan kos penjimatan pengurusan sebulan bernilai RM40,000 sekiranya projek ini dilaksanakan sepenuhnya dan mendapat kerjasama semua pihak sekali gus mengurangkan jumlah sisa organik yang terpaksa dihantar ke tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Norhayati Mat Said berkata, pada masa ini, projek inisiatif hijau tersebut masih dalam tempoh percubaan selepas pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Konsortium Pasar Borong Sdn. Bhd. (Konsortium) dan Syarikat Betsol Sdn. Bhd. (Betsol).

Ujar beliau, setiap minggu, pihak Konsortium melakukan tiga kali tarikan bagi sisa organik dan kos keseluruhan termasuk pembersihan serta kutipan yang dianggarkan RM300,000 sebulan.

”Sebelum ini pihak konsortium ada buat sisihan tetapi tidak teratur. Oleh itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengarahkan kami membantu bagi mengurangkan sisa yang dihantar ke Bukit Tagar.

”Langkah yang diambil itu juga dapat mengurangkan kos pengurusan dan penghantaran sisa berkenaan. Pada masa sama, pihak Betsol datang dengan proposalnya untuk mendapatkan sisa organik daripada pasar borong,” ujarnya.

Menurut Nur Hayati, pada awal pelaksanaan projek tersebut, pihaknya berhadapan dengan beberapa kekangan selain terpaksa berkampung di Pasar Borong Kuala Lumpur selama dua minggu.

”Projek ini agak sukar, kita pun hampir putus asa kerana banyak lori yang perlu dikawal bagi memastikan pemborong melakukan pengasingan dengan betul.

”Dalam masa dua minggu pasukan saya terpaksa berkampung di sini bagi memastikan sisa berkenaan betul-betul diasingkan,” katanya.

Nur Hayati memberitahu, selepas diasingkan, pekerja akan tarik sisa berkenaan untuk dimasukkan ke dalam tong roro dan proses pelupusan atau kompos sisa secara organik berlaku.

Jelas beliau, sebagai projek perintis, pihaknya akan mengawal selia dan memberi panduan supaya kaedah yang dijalankan konsortium lebih teratur serta betul.

”Bila dilaksanakan, kita bekalkan tong berwarna oren kepada konsortium dan ajar mereka bagaimana melaksanakan pengasingan itu. Dalam tempoh dua bulan pertama ini, semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya.

Menurut Nur Hayati, menerusi projek tersebut, DBKL sudah lakukan penjimatan kerana sampah tidak dihantar ke Bukit Tagar yang mana pelbagai kos atau bayaran pengurusan sampah dapat dikurangkan.

Malah ujarnya, DBKL juga berhasrat meneruskan projek berkenaan ke semua pasar basah, kawasan penempatan dan pusat beli- belah di sekitar Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas