Berita

Projek Impian Remaja untuk bantu remaja B40

- Diterbit 8 Februari 2021 7:11 AM MYT

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini melancarkan Projek Impian Remaja yang bermatlamat untuk mengumpulkan seberapa banyak penyumbang bagi membantu remaja daripada kelompok B40 agar berupaya memperbaiki kehidupan mereka menjadi lebih baik dan bermakna pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata langkah proaktif UKM yang diusahakan bersama sekumpulan pelajar sarjana daripada Graduate Business School, UKM akan mengumpulkan seberapa banyak penyumbang daripada sektor korporat dan individu bagi merealisasikan impian remaja berkenaan.

“Segala sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membantu remaja yang memerlukan seperti membiayai keperluan asas, pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” katanya ketika merasmikan Projek Impian Remaja itu secara dalam talian hari ini.

Muslimin berkata pembangunan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan penglibatan keluarga dan masyarakat namun tidak semua keluarga mampu memberikan sokongan sedemikian terutama keluarga dalam kelompok B40.

Katanya, ibu bapa daripada golongan itu biasanya terpaksa menghabiskan banyak masa di luar rumah untuk meningkatkan pendapatan bagi menyara kehidupan keluarga.

“Dalam usaha memperkasakan remaja, saya melihat perlunya sokongan daripada pihak swasta, badan bukan kerajaan, badan korporat termasuk orang perseorangan untuk turut sama menyumbang kepada projek pembangunan remaja ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, Muslimin turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada projek Impian Remaja. Turut menyumbang pada majlis pelancaran hari ini adalah Kajang Plaza Medical Centre, Atomy Malaysia, Export Import Bank dan Yayasan Food Bank. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas