Berita

Projek FAM-MSN tidak mungkin lahirkan pemain hebat dalam masa singkat

- Diterbit 5 April 2021 3:27 AM MYT

SKUAD ‘ubi muda’ Projek FAM-MSN yang melalui enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan, masih memerlukan masa untuk memperbaiki mutu permainan.

Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN Yusri Che Lah berkata pasukan yang mula berjuang dalam saingan Liga Premier sejak 2 Feb lepas tidak mungkin dapat melahirkan pemain berpotensi dalam masa singkat.

“Saya faham dengan semua kata-kata di luar sana, mereka tidak inginkan jawapan yang selamat.

“Tetapi bagi saya siapa juga berada di tempat saya harus menerima keadaannya kerana inilah pembangunan yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) malam tadi.

Beliau juga mengakui bukan mudah untuk barisan pemain berusia antara 17  hingga 20 tahun berhadapan dengan pasukan yang mempunyai pemain import.

Yusri berharap pasukannya kembali bersemangat dan memperbaiki prestasi mereka untuk perlawanan berikutnya menentang Kuching City FC Rabu ini.

Pada perlawanan malam tadi di Stadium UiTM di Shah Alam menyaksikan skuad Projek FAM-MSN tewas 0-5 kepada JDT II. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas