Berita

Program pengedaran barangan perlu, LPG diperluas ke 137 kawasan baharu

- Diterbit 14 Januari 2021 7:13 AM MYT

BEBERAPA kawasan di Sabah dan Sarawak serta Pulau Perhentian dan Redang di Terengganu selain Pulau Tioman di Pahang merupakan antara 137 kawasan pengedaran baharu dikenal pasti bagi pelaksanaan Program Pengedaran Barangan Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan ‘Community Drumming’ pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pertambahan peruntukan kepada RM200 juta untuk program itu tahun ini berbanding RM150 juta pada 2020 membolehkan kementerian memperluas pelaksanaannya ke kawasan baharu yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau berkata pelantikan syarikat transporter (pengangkut) bagi tahun ini akan dilaksana  menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang telah diluluskan Kementerian Kewangan.

“SOP tersebut menggariskan tatacara perolehan yang mengambil prinsip tender terbuka yang mana iklan tawaran akan dikeluarkan bagi mempelawa syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berminat untuk memohon sebagai transporter. Proses lantikan dijangka selesai pada April 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi mengelak bekalan daripada terputus sementara menunggu pelantikan syarikat transporter baharu, kementeriannya bersetuju melanjutkan kontrak syarikat transporter sedia ada hingga 30 April ini, serta telah mengeluarkan arahan kepada 151 syarikat terlibat untuk melaksanakan perkhidmatan serta-merta pada 12 Jan lalu.

Nanta berkata kementeriannya memberi jaminan bekalan barangan keperluan akan terus dibekalkan kepada penduduk dengan pelanjutan kontrak syarikat sedia ada berkenaan.

“Kementerian berharap program ini dapat meringankan beban penduduk-penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak mengharungi waktu yang sukar menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata program yang dilaksanakan sejak 2009 itu telah berjaya membantu masyarakat luar bandar menikmati tujuh barangan asas iaitu beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel pada harga yang dikawal.

Jelasnya, perkhidmatan pengedaran barang keperluan asas dilaksanakan oleh transporter yang membeli bekalan barang keperluan asas daripada pembekal di bandar, menghantar dan menjual bekalan kepada Point of Sales (POS) atau premis jualan di kawasan pengedaran.

Katanya POS itu seterusnya akan menjual barang keperluan asas kepada penduduk sekitar pada harga yang dikawal.

Nanta berkata sebelum ini penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman terpaksa membayar harga barangan keperluan pada kadar lebih tinggi disebabkan kos pengangkutan dan faktor jarak, selain aspek geografi seperti perlu melalui laluan balak, sungai, jeram, bukit, gunung dan pulau. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas