Biz

Produktiviti pekerja bertambah baik – DOSM

- Diterbit 19 November 2020 6:12 AM MYT

PRODUKTIVITI buruh Malaysia bertambah baik dengan penurunan yang lebih kecil iaitu 2.2 peratus pada Suku Tahunan (ST) ketiga 2020 berbanding negatif 16.0 peratus pada ST2 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan perlahan direkodkan dengan nilai produktiviti RM23,248 per pekerja berbanding RM19,446 per pekerja sebelumnya adalah disebabkan pembukaan semula lebih banyak perniagaan pada suku ketiga.

Malah ujar beliau, pembukaan semula itu menyebabkan marginal pekerja turun 0.4 peratus kepada 15.1 juta orang (ST2 2020: 14.9 juta orang, -1.3 peratus).

“Pada suku ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar menyusut pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.7 peratus daripada penguncupan dua digit 17.1 peratus pada ST2 2020,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, ujar Mohd Uzir, waktu operasi perniagaan yang lebih panjang pada ST3 2020 menyebabkan jumlah jam bekerja menurun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.7 peratus (8.5 bilion jam bekerja) berbanding negatif 28.2 peratus (6.2 bilion jam bekerja) pada suku sebelumnya.

Justeru, kata beliau, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai tambah per jam bekerja meningkat secara marginal 0.1 peratus dengan kadar RM41 per jam selepas mencatatkan peningkatan 15.5 peratus (RM46 per jam) pada ST2 2020.

Mengikut sektor ekonomi pula, beliau berkata, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai tambah per pekerja dalam sektor Pembuatan pulih kepada 3.6 peratus daripada negatif 17.3 peratus pada ST2 2020.

“Sektor Pertanian merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif produktiviti buruh pada ST2 2020 (1.6 peratus), tumbuh sederhana kepada 0.3 peratus pada ST3 2020. Sementara itu, produktiviti buruh bagi lain-lain sektor terus merekodkan penurunan dengan Sektor Pembinaan mencatatkan penurunan tertinggi iaitu 10.2 peratus, diikuti Perlombongan dan Pengkuarian (-4.6 peratus) dan Perkhidmatan (-3.9 peratus).

“Dari segi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai tambah per jam bekerja, sektor Pembuatan dan Pertanian kekal mencatatkan pertumbuhan positif seperti suku sebelumnya, walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Produktiviti sektor Pembinaan terus menyusut bagi tempoh tiga suku berturut-turut dengan kejatuhan tertinggi 9.0 peratus.

“Sementara itu, produktiviti buruh Perlombongan dan Pengkuarian jatuh 4.5 peratus manakala Perkhidmatan menurun 1.4 peratus,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Uzir merumuskan, ketika negara masih berusaha mengekang pandemik COVID-19, perniagaan berhadapan dengan cabaran untuk mengimbangi antara kelangsungan operasi perniagaan dengan permintaan yang perlahan.

Ujarnya, dalam usaha perniagaan menyesuaikan strategi operasi mereka, pekerja juga perlu mengadaptasi norma baharu dan kesemua itu memberi impak terhadap produktiviti buruh.

“Dalam hal ini, pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan pada berupaya mengurangkan kesulitan yang dihadapi semua pihak termasuk perniagaan, pekerja dan seterusnya menjamin kelangsungan. Banci Malaysia 2020 (e-Banci) dengan fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September lalu telah dilanjutkan sehingga 21 Disember 2020 manakala fasa kedua akan bermula pada 20 Januari sehingga 6 Februari 2021 menggunakan temuduga secara bersemuka.

“Oleh itu, saya amat berharap seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan banci tersebut. Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020,” tambah beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas