Berita

Produk, daging babi dari China dirampas JPV

PEGAWAI JPV melakukan pemeriksaan di syarikat pengimport dan pengedar produk tin babi serta dua buah restoran yang menyediakan hidangan anak babi (suckling pig) pagi tadi.
- Diterbit 31 Oktober 2019 8:47 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengarahkan produk serta daging babi yang yang diimport dari China dan Vietnam ditarik balik daripada dijual di negara ini bagi mengelakkan virus African Swine Fever (ASF) merebak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, tindakan tegas termasuk rampasan akan dilakukan ke atas premis atau pengimport dan pengedar sekiranya didapati menyeludup masuk produk dan daging babi dari kedua-dua negara berkenaan.

Ini kerana, jelas beliau, kemasukan virus ASF akan mengakibatkan negara kerugian hingga RM5 bilion bagi industri babi tempatan berikutan virus berkenaan akan menyerang ternakan dalam negara.

Ekoran itu, katanya, pemeriksaan dilakukan di tiga lokasi iaitu syarikat pengimport dan pengedar produk tin babi serta dua buah restoran yang menyediakan hidangan daging anak babi (suckling pig).

DR. QUAZA NIZAMUDDIN menunjukkan produk tin dan sampel daging anak babi yang dirampas dalam operasi pagi tadi.

“Kita merampas 60 kotak berisi produk babi yang ditinkan mengikut Akta Kastam 1967 (akta 235) dan Akta MAQIS (Akta 728). Lebih mengejutkan apabila tarikh pengimportan barang rampasan ini adalah Julai lalu sedangkan larangan membawa masuk dikeluarkan pada 12 November tahun lepas.

“Manakala sampel makanan daging anak babi yang dijual diambil dari dua restoran. Sampel tersebut akan diuji di makmal dan tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Seksyen 18 dan 19 Akta Binatang 1953. Jika terdapat kehadiran virus ASF, tindakan pemusnahan produk akan dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Dr. Quaza Nizamuddin, virus tersebut mempunyai daya tahan yang tinggi dan masih aktif yang mana sekiranya berada di dalam produk sejuk beku, virus tahan untuk tempoh 2 tahun 7 bulan (1,000 hari); daging salai (30 hari) dan dalam tin (30 hari).

Jelas beliau, virus tersebut juga stabil dalam julat pH 1.9 hingga 13.5 iaitu bagi alkali mahu pun asid.

ANTARA daging anak babi yang diimport ke negara ini.

“Kuman tersebut hanya boleh dinyahaktif pada suhu 70 darjah celcius selama 30 minit,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Quaza Nizamuddin menegaskan supaya pengguna terlibat tidak sewenang-wenangnya membeli produk atau daging babi dari negara terlarang.

Tambahnya, produk dan daging babi boleh diimport dari beberapa negara lain iaitu Australia, Kanada, Denmark, Jerman, Belanda, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Perancis.

Pada 27 Oktober lalu, Sarawak mengeluarkan larangan pengimportan produk berasaskan babi ke atas negara-negara yang dijangkiti ASF termasuk China.

Larangan dikeluarkan berikutan pengesanan dalam produk tin ‘canned luncheon pork’ yang diimport dari China yang disahkan Makmal Kesihatan Awam Veterinar pada 25 Ogos lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas