Berita

PRN Sabah: Kawalan keselamatan dipertingkatkan elak kekacauan, penculikan

- Diterbit 22 September 2020 4:15 AM MYT

KAWALAN keselamatan di Sabah terus dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan kemasukan rakyat asing untuk membuat kekacauan dan penculikan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata pasukan keselamatan akan memastikan ancaman-ancaman itu tidak berlaku.

“Cubaan untuk culik (untuk mendapatkan wang tebusan) memang ada. Maklumat ini kita terima daripada pasukan keselamatan Filipina…memang ada cubaan (penjenayah) di sana untuk menyeberang untuk melakukan jenayah tersebut,” katanya.

Malah terdapat sembilan cubaan masuk kumpulan penjenayah dari Filipina yang dipercayai cuba melakukan kegiatan menculik untuk wang tebusan di Sabah sejak Mei lepas sehingga kini, katanya kepada pemberita selepas meninjau pengundian awal di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Sabah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hazani mendedahkan pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat negara asing untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Sabtu ini.

Hazani semasa membuat pendedahan tempoh hari, bagaimanapun, enggan mendedahkan sumber maklumat, bilangan besar-besaran tersebut dan bentuk kekacauan.

“Pada tahun 2018 terdapat satu kes culik berlaku di Tambisan, Lahad Datu semasa pilihan raya (umum) dan kita jangkakan atas kesibukan anggota keselamatan khususnya polis pada ketika ini…pihak dari negara jiran cuba masuk dan membuat kekacauan.

“Oleh itu kita terus perketatkan kawalan di sempadan perairan kita bukan sahaja di musim pilihan raya ini tetapi sepanjang masa untuk memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terus terjamin,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata sebanyak 35 laporan polis diterima berhubung kenyataan seorang calon pilihan raya berkenaan insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013 yang didakwanya sebagai satu sandiwara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 28 laporan polis dibuat di Sabah manakala tujuh lagi laporan diterima di Semenanjung berkenaan kandungan ceramah yang dilakukan oleh seorang bekas menteri di lokasi ceramah di gelanggang futsal Kampung Wawasan di Lahad Datu pada jam 3 petang Ahad lalu.

“Kes sudah dibuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 500 dan 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukti Aman akan mengambil alih sepenuhnya siasatan yang akan dijalankan.

“Siasatan akan dilakukan secara profesional dan selepas selesai kertas siasatan akan dihantar ke pihak peguam negara untuk arahan lanjut,” katanya.

Tambah Hazani, calon terbabit mungkin akan dipanggil untuk memberi keterangan selepas selesai PRN Sabah, bertujuan tidak menggangu proses kempen dan pilihan raya yang sedang berlangsung ketika ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas