Berita

Premis perniagaan dan pusat keagamaan digalak perluas konsep Food Bank

- Diterbit 4 Februari 2021 2:21 AM MYT

SEMUA premis perniagaan dan pusat keagamaan digalak memperluaskan konsep ‘Food Bank’ bagi meringankan beban rakyat serta membantu kelangsungan hidup mereka, kata Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Senator Datuk Razali Idris.

Beliau berkata setiap premis perniagaan bukan sahaja di pasar raya berskala besar atau sederhana, tetapi juga pasar basah, pasar tani, pasar malam, kedai runcit, restoran, kedai cermin mata, kedai farmasi dan stesen minyak boleh menyediakan tempat khas bantuan barangan keperluan asas bagi tujuan itu.

“Walaupun perniagaan dan ekonomi tidak menentu sekarang, ia bukan paksaan kepada setiap premis perniagaan untuk menyediakan ruang Food Bank tetapi sekadar sebagai tanggungjawab terpuji dan bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Pusat keagamaan seperti pengurusan surau, masjid, tokong, kuil dan gereja juga boleh menyokong konsep Food Bank ini dengan lebih meluas kerana keberadaan pusat keagamaan ini sangat dekat dalam kelompok komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Razali berkata konsep Food Bank yang digerakkan secara bersepadu dalam kalangan warganegara Malaysia turut memberi impak efektif kepada kerajaan yang melaksanakan Program Bakul Makanan.

“Konsep Food Bank berlandaskan sikap kesukarelawanan ini membolehkan jiwa kebajikan terus dipupuk dalam kalangan rakyat yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas