Berita

PPTGWP perkenal sistem nombor giliran baharu

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan.
- Diterbit 6 April 2021 9:46 AM MYT

SEJAJAR dengan usaha untuk menjadi agensi pentadbir urus tanah dan pemungut hasil melalui perkhidmatan yang cekap dan inovatif berteraskan teknologi, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan dalam mengatasi masalah operasi kaunter sehingga terpaksa menunggu giliran terlalu lama.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, PPTGWP telah memperkenalkan Sistem Pengurusan Giliran (QMS) yang membolehkan pelanggan merujuk nombor giliran secara langsung di Portal Rasmi dan Facebook Live PPTGWP.

Pengarahnya, Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, melalui sistem tersebut, pelanggan tidak perlu lagi menghabiskan masa yang lama menunggu giliran untuk bertemu dengan pegawai di kaunter.

“Pelaksanaan sistem ini akan menjadikan PPTGWP di antara Pejabat Tanah pertama yang memperkenalkan sistem perkhidmatan nombor giliran secara dalam talian.

“Ia juga mengambil kira pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan norma baharu bagi mengawal penularan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Muhammad Yasir, sebelum ini PPTGWP mempunyai perkhidmatan dalam talian melalui sistem eTanah yang merupakan aplikasi bersepadu yang dibangunkan untuk menjalankan urusan pentadbiran tanah secara elektronik.

“Sistem e-tanah ini menyediakan kemudahan kepada pelanggannya untuk menyelesaikan urusan-urusan seperti pembayaran cukai tanah dan petak, membuat carian persendirian dan semakan
status permohonan,” katanya.

Terdahulu, laporan sebuah portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang bertajuk The long, early morning ‘paper queue’ at KL land office pada 5 April 2021, adalah berkaitan dengan pembukaan semula kaunter PPTGWP setelah ia ditutup selaras SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pelanggan – pelanggan dari sektor guaman yang terkesan akibat urusan tanah yang belum selesai telah hadir untuk mengambil nombor giliran yang mula tiba di agensi tersebut seawal jam 4 pagi.

Jelas Muhammad Yasir, keadaan tersebut mungkin berlaku di luar jangkaan, antaranya penutupan operasi pada tempoh PKP di Kuala Lumpur yang diumumkan menyebabkan banyak urusan
pelanggan dengan agensi tersebut tertunggak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas