Berita

PPj rai MPPWP, 13 agensi

FADLUN (dua kiri) menyampaikan sijil kepada Pengerusi MPPWP Sub Zon 3 Putrajaya, Zarina Ismail dalam Majlis Penghargaan MPPWP dan Rakan-Rakan Strategik 2022, baru-baru ini. Kredit foto: Faris Azmi PPj
- Diterbit 23 Disember 2022 7:30 AM MYT

SEBAGAI usaha menghargai sumbangan, komitmen dan kerjasama yang diberikan, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengadakan Majlis Penghargaan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya dan Rakan-Rakan Strategik 2022 bertempat di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj, pada Isnin.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program tersebut diadakan buat mereka yang telah menjayakan program-program anjuran PPj seterusya merapatkan hubungan bersama pemegang taruh Putrajaya.

“Bagi menghargai rakan strategik PPj yang telah memberi komitmen serta kerjasama dalam menjayakan program anjuran PPj, sebanyak 13 agensi telah menerima Anugerah Rakan Strategik Perbadanan Putrajaya.

“Antara agensi terlibat adalah Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP).

“Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya; Kraftangan Putrajaya; Bank Islam; Tenaga Nasional Berhad (TNB) Putrajaya; Kelab Usahawan Putrajaya; Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE); Persatuan Warga Emas Putrajaya (PerWEP); Kelab Anak Muda Putrajaya dan Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad (PUTRAKOP) turut menerima anugerah yang sama,” kata beliau.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan anugerah yang telah dipertandingkan dalam kalangan MPPWP Putrajaya iaitu Anugerah Keselamatan, Perpaduan & Kesejahteraan; Anugerah Ekonomi & Keusahawan; Anugerah Modal Insan, Pendidikan & ICT; Anugerah Sukan & Rekreasi; Anugerah Kesihatan, Kebersihan & Alam Sekitar; Anugerah Inovasi MPPWP Putrajaya dan Anugerah MPPWP Cemerlang Putrajaya 2022.

“Anggota MPPWP Putrajaya memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan warga tempatan dalam kehidupan seharian, jadi kita perlu hargai mereka,” tambah beliau.

Terdahulu, PPj bersama MPPWP dan rakan strategiknya telah melaksanakan sebanyak 230 aktiviti yang bukan sahaja memfokuskan kepada acara-acara berskala mega malah pelbagai program di peringkat komuniti meliputi kesemua golongan dan lapisan masyarakat di sepanjang tahun 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas