Berita

PPj optimis realisasi Bandar Mampan, Bandar Hijau Karbon Rendah 2025

FADLUN (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) selaku johan Pertandingan Laman Cantik Putrajaya 2022.
- Diterbit 13 Januari 2023 8:31 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) sentiasa komited dalam usaha memastikan Putrajaya menjadi sebuah Bandar Mampan dan Bandar Hijau Karbon Rendah bertaraf dunia dalam semua aspek menjelang tahun 2025.

Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut meraikan para pemenang Pertandingan Laman Cantik 2022 dalam satu majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj, Presint 3, Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata objektif penganjuran pertandingan tersebut adalah untuk menghargai inisiatif penduduk dan komuniti dalam usaha mereka mewujudkan persekitaran hijau dan mampan di Putrajaya.

“Pertandingan anjuran Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP); Jabatan Perkhidmatan Bandar bersama dengan Jabatan Landskap Dan Taman PPj ini juga dilihat mampu mendorong masyarakat serta komuniti Putrajaya dalam memelihara kejiranan hijau selaras dengan konsep pembangunan dan status Putrajaya sebagai ‘Bandar Dalam Taman’.

“Jika kita telusuri setahun ke dua tahun lalu sepanjang berhadapan dengan pandemik COVID-19, terdapat beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah kita lalui di mana ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mengambil peluang tersebut untuk mengisi masa sepanjang berada di rumah dengan bercucuk tanam, menghias laman dan sebagainya.

“Secara tidak langsung, aktiviti seperti ini memberikan faedah dan manfaat kepada penjagaan kesihatan fizikal serta kesihatan mental,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Laman Cantik Putrajaya 2022 pada Selasa.

Dalam pada itu, Fadlun berkata penganjuran pertandingan pada tahun 2022 itu dibuat dengan beberapa inovasi dan juga penambahbaikan daripada beberapa aspek.

“Penganjuran Pertandingan Laman Cantik 2022 ini julung-julung kalinya membuka penyertaan kepada pihak sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui kategori sekolah selain kategori rumah kuarters dan rumah milik persendirian,” ujarnya pihak PPj menerima 43 penyertaan meliputi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan.

Di samping itu, beliau memberitahu usaha mewujudkan persekitaran hijau dan persekitaran yang kondusif di Putrajaya tidak hanya terletak pada tanggungjawab PPj sahaja, malah warga dan komuniti Putrajaya serta pihak sekolah juga boleh memainkan peranan mengikut kapasiti masing-masing.

Beliau berharap melalui pertandingan ini, warga Putrajaya dapat terus berganding bahu dan bersama-sama dalam usaha mewujudkan persekitaran hijau dan kondusif bukan sahaja untuk generasi pada masa sekarang, akan tetapi untuk generasi yang akan mewarisi kita di masa akan datang.

Terdahulu, penjurian telah diadakan bermula 5 hingga 23 Disember 2022 yang mana juara pertandingan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, naib juara RM800, RM700 bagi tempat ketiga, tempat keempat RM600 dan RM500 untuk tempat kelima manakala pemenang tempat keenam hingga ke-10 pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM300.

Bagi kategori sekolah kebangsaan dan menengah, juara bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000, naib juara RM1,500, tempat ketiga sebanyak RM1,000 manakala pemenang saguhati tempat keempat hingga ke-11 membawa wang tunai bernilai RM600 yang mana masing-masing menerima trofi dan sijil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas