Berita

PPIM gesa tindakan perundangan kepada majikan ingkar

PPIM mahu majikan menjaga kebajikan pekerja kontrak dengan membenarkan mereka mencarum. Gambar: PPIM PPIM mahu majikan menjaga kebajikan pekerja kontrak dengan membenarkan
- Diterbit 15 Oktober 2021 9:35 AM MYT

MESKIPUN tindakan tegas telah dikenakan kepada para majikan yang gagal mencarum skim keselamatan pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun segelintirnya masih degil dan enggan menjaga kebajikan serta kesihatan pekerja di bawahnya.

Senario ini mendapat perhatian Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang menggesa majikan untuk lebih bertanggungjawab di samping mengenakan denda kepada mereka yang ingkar.

“Tidak ada pilihan lain, kenapa tidak mahu mengambil pilihan ini untuk menyelamatkan keadaan dan saya rasa ia seharusnya dijadikan undang-undang mahupun peraturan yang ketat.

Tindakan tegas perlu diambil segera terhadap majikan yang tidak mencarumkan pekerjanya,” katanya yang menekankan kepentingan kebajikan dan kesihatan pekerja.

Nadzim berkata, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan Perkeso dilihat amat membantu individu yang memerlukan terutama di kala pandemik yang mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan termasuk diberhentikan secara paksa.

“Saya rasa SIP ini membantu mereka yang amat memerlukan dan yang menghadapi masalah. Oleh itu, kita amat mengalu-alukan usaha ini serta berharap mereka (pencarum) dapat dibantu dan disokong oleh semua pihak yang dapat memberi sumbangan mahupun bantuan bagi meringankan beban yang dilalui,” jelasnya yang menyokong inisiatif yang diperkenalkan Perkeso.

Dalam pada itu, Nadzim turut memuji usaha Perkeso dalam menangani isu tuntutan berikutan tiada lagi aduan diterimanya walaupun isu pekerja diberhentikan sepanjang tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat.

“Dulu-dulu, lebih kurang dalam empat tahun yang lalu ada juga timbul isu mengenai tuntutan kerana orang ramai beranggapan susah nak dapat.

“Tetapi alhamdulilah kebelakangan ini saya tengok perkara itu tidak timbul dan panel-panel yang ada pun memudahkan cara tuntutan yang diminta. Kini, tiada lagi aduan berkaitan diterima,” jelasnya yang turut mengucapkan tahniah kepada Perkeso di atas usaha yang sangat baik dan membantu.

Tambahnya lagi, pekerja sendiri juga berhak untuk memohon SIP memandangkan situasi pandemik yang memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia dan semua individu perlu mengambil kesempatan di atas ruang yang kerajaan berikan sebaik mungkin kerana ia mampu membantu mempermudahkan urusan tuntutan di kemudian hari.

Jelasnya lagi, selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO), beliau menyokong sepenuhnya SIP yang diperkenalkan Perkeso ini memandangkan ia memberi manfaat besar kepada individu yang hilang pekerjaan.

“Sebelum ini kita pernah mendengar mengenai pekerja kontrak kategori penjawat awam yang setelah tamat kontraknya tidak dapat dikesan. Perkara ini tidak boleh diambil mudah dan sepatutnya daripada awal lagi kerajaan selaku majikan mempunyai rasa tanggungjawab dengan membenarkan pekerja kontrak mencarum bagi menikmati faedah SIP,” katanya.

Nadzim turut mencadangkan kepada individu dan majikan untuk melayari laman web Perkeso https://www.perkeso.gov.my/ atau menghubungi talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000 bagi mendapatkan maklumat lanjut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas