Berita

PPAM Melinjau selamat diduduki – Annuar

ANNUAR (tiga kiri) melihat kesan binaan yang didakwa penduduk setempat.
- Diterbit 24 Disember 2020 11:34 AM MYT

PROJEK Perumahan Awam (PPAM) Melinjau, Putrajaya selamat diduduki meskipun lebih 600 penghuninya mendakwa keadaan rumah yang didiami ketika ini tidak stabil.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah berunding dengan kontraktor pembinaan bagi melakukan kerja-kerja pembaikian dengan menggunakan dana cagaran tempoh tanggungan kecacatan (DLP).

“Dari segi keselamatan, ia (bangunan) selamat tetapi menyakitkan pandangan. Garisan tidak lurus, dinding juga tidak rata.

“Terdapat juga kemudahan seperti kerja perpaipan dan lain-lain yang tidak sempurna,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan baucar Back To School dan penyerahan sumbangan Program Sudut Infaq kepada 10 surau di PPj petang ini.

Menurut Annuar, kerja penambahbaikan sedang dilakukan dan kos pengurusannya dipotong daripada duit kontraktor yang masih dipegang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( KPKT).

Beliau berkata, pemaju juga memohon tempoh seminggu untuk mengemukakan kuantiti dan kos pembaikian kepada pihak PPj.

Pada Oktober lalu, Persatuan Penduduk PPAM Melinjau meluahkan rasa bimbang apabila mendapati ada kecacatan pada struktur binaan tersebut selain mendakwa bangunan tidak menjamin keselamatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas