Berita

Portal MyGovernment hubungkan pengguna dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan

SEBANYAK 28 kementerian dan 57 agensi sektor awam, telah berkolaborasi dan menjadi rakan strategik dalam penyediaan kandungan dan integrasi perkhidmatan dalam talian di portal tersebut. Kredit foto oleh: BERNAMA SEBANYAK 28 kementerian dan 57 agensi sektor awam, telah berkolaborasi dan menjadi rakan strategik dalam penyediaan kandungan dan integrasi perkhidmatan dalam talian di portal tersebut. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 13 Julai 2021 3:19 PM MYT

ORANG ramai digalak menggunakan perkhidmatan portal ‘MyGovernment’ yang menghubungkan pengguna dengan pelbagai perkhidmatan dalam talian, disediakan kementerian, jabatan atau agensi sektor awam.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, portal MyGovernment memudahkan rakyat untuk memilih perkhidmatan yang diperlukan, mengikut peristiwa kehidupan masing-masing tanpa perlu hadir ke premis kerajaan, dan dapat mengelakkan orang ramai daripada berkumpul.

Menurut kenyataan itu, MAMPU menyatakan sebanyak 28 kementerian dan 57 agensi sektor awam, telah berkolaborasi dan menjadi rakan strategik dalam penyediaan kandungan dan integrasi perkhidmatan dalam talian, untuk portal berkenaan.

“Sehingga kini, sebanyak 389 perkhidmatan dalam talian kerajaan mengikut peristiwa kehidupan boleh dicapai, dalam portal MyGovernment ini.

“Orang ramai juga boleh mengakses perkhidmatan kerajaan pada bila-bila masa dan daripada mana-mana lokasi,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan MAMPU itu menyatakan, dengan sinergi yang strategik antara pelbagai jabatan kerajaan, dalam merealisasikan agenda pendigitalan negara melalui pembangunan portal MyGovernment itu, insiden kesesakan di kaunter seperti di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju yang tular di media sosial baru-baru ini, dapat dielakkan.

Sebelum ini tular video berdurasi satu minit 13 saat, yang memaparkan orang ramai berkumpul di JPJ Wangsa Maju, dipercayai untuk mengambil nombor giliran untuk urusan di kaunter jabatan itu.

Menurut MAMPU, kerajaan sedang giat memperluaskan perkhidmatan dalam talian secara ‘End-To-End’ (E2E), yang merentasi pelbagai agensi awam dan swasta bagi memudah cara interaksi rakyat, industri dan kerajaan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan perkhidmatan kerajaan digital yang berfokuskan rakyat. Senario semasa akibat daripada wabak COVID- 19, telah menyebabkan norma baharu penggunaan perkhidmatan digital semakin meningkat,” menurut kenyataan itu.

Portal MyGovernment dibangunkan pada 2003, bermula dengan menyediakan informasi berkaitan dengan perkhidmatan kerajaan dan kemudiannya ditambah baik dari semasa ke semasa, sehingga menjadikan Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas