Berita

Polis tutup sementara laluan antara Plaza Tol Ipoh Utara-Ipoh Selatan arah selatan, esok

- Diterbit 29 November 2022 5:32 AM MYT

PENGENDALI Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara laluan di antara Plaza Tol Ipoh Utara dan Ipoh Selatan dari KM267.3 ke KM280.6 (arah selatan) bagi melancarkan latihan simulasi yang dijadualkan bermula 10 pagi hingga 2.30 petang, esok.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Bhd Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pengguna lebuh raya dari Kuala Kangsar dan utara dinasihatkan menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) susur Jalan Jelapang-Ampang manakala pengguna lebuh raya yang menuju ke selatan dinasihatkan memasuki semula lebuh raya PLUS melalui Plaza Tol Ipoh Selatan.

“Keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami. Oleh itu, latihan respons kecemasan dijalankan secara berkala bagi menilai tahap kesiapsiagaan warga PLUS dan agensi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria juga berkata latihan respons kecemasan itu bertujuan untuk mengukur kesediaan dan tindak balas PLUS, pasukan kecemasan dan agensi berkaitan dalam menguruskan situasi kecemasan di lebuh raya.

Latihan respons kecemasan itu turut melibatkan pelbagai agensi seperti Pihak Berkuasa Lebuhraya Malaysia, Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk maklumat trafik terkini atau mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas