Berita

Polis tumpas sindiket dadah jadikan Malaysia negara transit

- Diterbit 20 Januari 2021 9:39 AM MYT

POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang menjadikan Malaysia sebagai transit selepas menahan enam suspek sekitar Lembah Klang, dan merampas dadah bernilai kira-kira RM11 juta, Jumaat lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata kesemua suspek yang berumur antara 28 dan 58 tahun itu ditahan dalam enam serbuan, namun beliau tidak menyatakan butiran lanjut mengenai lokasi penahanan.

Beliau berkata 100.92 kilogram (kg) dadah jenis ketamin dan 60kg heroin, dipercayai untuk dihantar ke luar negara menggunakan jalan laut, dirampas dalam serbuan itu, dan polis percaya sindiket itu mula aktif menjalankan kegiatan mengedar dan menyeludup dadah sejak Oktober tahun lepas.

“Kesemua dadah ditemui di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di ibu kota, dan dadah ini (ketamin dan heroin) boleh dibekalkan kepada seramai 636,375 penagih dadah dalam satu-satu masa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini.

“Antara aset yang disita adalah enam buah kereta, 21 jenis barang kemas dan dua utas jam tangan jenama Rolex serta wang tunai RM423,829 dengan nilai sitaan keseluruhan sekitar RM937,329; disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Yong berkata semua suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Jan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas