Berita

Polis tahan lima anggota Geng Mimi Vape, termasuk ketuanya

- Diterbit 23 Februari 2021 2:34 PM MYT

POLIS menumpaskan satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Mimi Vape’ yang dipercayai aktif melakukan kes pecah kedai dan rumah, selepas lima anggotanya ditahan dalam serbuan pada 17 Feb dan semalam sekitar pulau ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata dalam serbuan pada 17 Feb lepas hasil risikan, sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi telah melancarkan Ops Pintu dan menahan dua lelaki berusia 32 serta 39 tahun di sebuah rumah di Kampung Buluh Penyumpit pada pukul 7.00 pagi.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek, ia membawa kepada penahahan tiga lagi anggota kumpulan itu yang berumur antara 25 dan 35 tahun termasuk ketua kumpulan itu yang bekerja membaiki telefon dan vape di sebuah rumah di Kampung Buluh Penyumpit, 1.30 tengah hari semalam.

“Hasil serbuan, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 11 gram serta beberapa barang curi dipercaya hasil kegiatan pecah kedai dan rumah. Kejayaan menumpaskan kumpulan ini telah menyelesaikan lapan kejadian pecah kedai dan rumah yang berlaku di sekitar Langkawi sejak Jun tahun lepas,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat polis Langkawi, hari ini.

Menurutnya kumpulan ini aktif melakukan kegiatan jenayah sejak Jun tahun lepas, dengan yang terbaharu melibatkan kejadian pecah masuk sebuah kedai serbaneka melibatkan kerugian hampir RM5,000 pada 10 Feb lepas.

“Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan kegiatan jenayah mereka pada awal pagi seterusnya mencabut ‘plug’ utama di hadapan kedai untuk mengelak daripada dikesan oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Shariman berkata saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek yang memiliki pelbagai rekod jenayah itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Bagi kes pecah rumah kerja siasatan dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala rampasan dadah disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas