Berita

Polis tahan lelaki lari daripada pemeriksaan, miliki dadah

KETUA Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek cuba melarikan selepas sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) menahan kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan pada kira-kia 6.40 petang. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 3 Jun 2021 7:25 AM MYT

CUBAAN seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan 18/16 Petaling Jaya, di sini, gagal apabila dia ditahan bersama sejumlah dadah jenis heroin, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek berusia 34 tahun itu, cuba melarikan selepas sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) menahan kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan pada kira-kia 6.40 petang.

Beliau berkata suspek kemudian bertindak memandu secara berbahaya hingga hampir melanggar orang awam dan pengguna jalan raya lain.

“Anggota bertindak pantas dengan mengejar kereta tersebut selama kira-kira 20 minit sebelum berjaya menahan suspek di hadapan sebuah bank di Pekan Lama Petaling Jaya.

“Polis terpaksa memecahkan cermin kereta suspek kerana dia enggan keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata susulan kejadian itu, dua anggota cedera ringan di bahagian tangan kiri dan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek, polis menemui satu tiub penyedut minuman disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 0.30 gram dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi dan dadah serta kini direman tiga hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas