Berita

Polis tahan dua pesakit COVID-19 di PKRC disyaki curi telefon bimbit

PELAKON, Pengarah antara yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar semalam.  
- Diterbit 11 Februari 2021 8:10 AM MYT

POLIS menahan dua pesakit COVID-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang kerana disyaki mencuri telefon bimbit pesakit lain, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi menyebabkan pegawai perubatan berusia 34 tahun yang bertugas di Dewan C, PKRC terpaksa mengaktifkan kod oren, yang menandakan kecemasan dan meminta bantuan polis.

“Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 40 tahun itu disyaki mencuri empat telefon bimbit milik pesakit lain. Mereka telah dipindahkan ke dewan lain bagi tujuan keselamatan dan akan ditahan polis selepas sembuh daripada COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek akan mendapat pelepasan dari PKRC hari ini, manakala seorang lagi esok, dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

“Polis telah merampas empat telefon bimbit yang disyaki dicuri kedua-dua lelaki itu dan telah mengambil butiran mereka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Hari ini tular beberapa video yang memaparkan anggota polis memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan topi seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di PKRC, MAEPS bagi menahan dua lelaki yang disyaki mencuri telefon bimbit. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas