Berita

Polis tahan dua lelaki bantu siasatan kes mayat rentung di Sepang

- Diterbit 30 Oktober 2020 9:32 AM MYT

POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes mayat yang ditemukan rentung dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kawasan semak di Kota Warisan, Sepang pada Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata individu berusia 42 dan 38 tahun itu ditahan semalam dan direman bermula dari hari ini sehingga 5 Nov depan.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mengikut pendaftaran kereta yang terbakar pemilik berumur 42 tahun dan bekerja sebagai ‘jurutera tapak’.

Kedua-dua mereka (yang ditahan) merupakan kawan kepada si mati dan bekerja sebagai kontraktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan.

Fadzil berkata bedah siasat telah dijalankan di Hospital Serdang semalam dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka hirisan yang parah di tubuh badan berpunca daripada serangan objek tajam.

“Punca kematian adalah disebabkan kesan serangan dan bukan berpunca daripada sebab kebakaran,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan penemuan satu mayat di bahagian tempat duduk penumpang hadapan sebuah kenderaan yang terbakar di kawasan semak di Kota Warisan dan kebakaran dipadamkan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Salak Tinggi.

Polis turut menemui kesan kebakaran dalam lingkungan 10 meter daripada kenderaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas