Berita

Polis tahan ahli perniagaan disyaki rogol anak sejak Februari

||
- Diterbit 6 November 2020 8:18 AM MYT

POLIS menahan seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun Isnin lepas, kerana disyaki merogol anak kandungnya secara berterusan di rumah mereka di Bukit Antarabangsa di sini, sejak Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian terkutuk itu terbongkar, selepas polis menahan mangsa berusia 15 tahun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Ahad lepas.

“Remaja itu pada mulanya ditahan di terminal tersebut kerana cuba meninggalkan Kuala Lumpur tanpa permit perjalanan, semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setelah menyoal siasat mangsa, kami mengetahui mengenai kejadian rogol itu dan mangsa sebenarnya cuba melarikan diri ke rumah ibunya di Kedah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Menjelaskan kejadian berkenaan, Mohamad Farouk berkata mangsa dipercayai dirogol setiap minggu sejak Februari kecuali ketika dia sedang haid.

“Disebabkan perbuatan keji yang dilakukan bapanya, mangsa telah cuba membunuh diri dengan minum cecair pencuci pada Jun lepas. Mangsa menderita kemurungan dan trauma dengan kejadian itu,” katanya sambil menambah, gadis itu adalah anak suspek daripada perkahwinan sebelumnya.

Beliau berkata gadis itu berada dalam jagaan suspek sejak Sept 2019 bersama isteri kedua dan empat anaknya yang lain.

Selain itu Mohamad Farouk berkata suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes rogol adik iparnya pada 2004.

Beliau berkata suspek ditahan Isnin lepas di rumahnya dan telah direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas