Berita

Polis siasat pesta Songkran dibuat ketika PKP

TANGKAPAN layar rakaman video memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga asing menyertai pesta Songkran.
- Diterbit 13 April 2020 6:15 PM MYT

SHAH ALAM – Polis Selangor telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video pesta Songkran oleh pekerja kilang warga Myanmar di Sepang.

Jurucakap Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dilakukan pihaknya setakat ini.

“Polis Selangor mengesahkan menerima maklumat tersebut yang mana disiarkan melalui Facebook dengan video berdurasi 30 minit.

“Video itu memaparkan beberapa warga asing merayakan Songkran dan kes dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

 

Terdahulu, penularan video tersebut yang merayakan pesta Songkran dengan menari dan meminum arak menerima kecaman daripada netizen kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan pesta tersebut berlangsung di pekarangan sebuah asrama pekerja kilang warga Myanmar di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas