Berita

Polis rampas dadah RM7.2 juta, tahan enam anggota sindiket

KETUA Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata siasatan lanjut masih dilakukan termasuk mengesan dari mana bekalan dadah berkenaan diperoleh dan ke negara mana ia dibawa. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 2 Jun 2021 7:25 AM MYT

POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan surat kebenaran rentas negeri palsu untuk melepasi sekatan jalan raya, dengan penahanan enam individu dan rampasan kira-kira 142.22 kilogram (kg) dadah bernilai RM7.2 juta, dua hari lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata lima suspek lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 25 dan 52 tahun itu ditahan selepas polis memeriksa dua kereta di tepi pantai Klebang di sini pada kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Beliau berkata dadah dipercayai syabu seberat 83.08 kg dan dadah dipercayai ekstasi seberat 59.14 kg itu ditemui dalam salah sebuah kereta yang dinaiki suspek, selepas polis membuat serbuan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif dalam pengedaran dadah rentas negara sejak tiga bulan lepas dan menggunakan Melaka sebagai negeri transit sebelum dadah itu diseludup keluar menerusi laluan air.

“Siasatan lanjut masih dilakukan termasuk mengesan dari mana bekalan dadah berkenaan diperoleh dan ke negara mana ia dibawa,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata modus operandi sindiket itu ialah menggunakan surat kebenaran rentas negeri yang disyaki palsu, kerana borang berkenaan tidak mempunyai nombor siri, tiada dalam rekod polis serta menggunakan cop balai polis palsu, selain disertakan dengan surat pengesahan majikan yang juga dipalsukan.

Beliau berkata kesemua suspek adalah penganggur yang didapati positif dadah jenis methaphetamine, dan setiap mereka mempunyai tidak kurang lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta dua rekod melibatkan kes jenayah.

Katanya semua mereka direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas