Berita

Polis rampas 18.5 juta rokok seludup bernilai RM13.9 juta

PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Zainal Abidin Kasim (dua kanan) memerhatikan rampasan rokok seludup semasa mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 24 Jun 2021 6:17 AM MYT

POLIS menahan lima lelaki termasuk warga emas disyaki ahli sindiket penyeludupan rokok putih dan merampas 18.5 juta rokok putih bernilai RM13.87 juta termasuk cukai di sebuah gudang dan stor di Tasek Gelugor di sini semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak empat bulan lepas, pasukan Bahagian Siasatan dan Risikan KDNKA menyerbu gudang dan stor di Kampung Selamat Tasik Gelugor pada 5 pagi dan menahan suspek berusia 36 hingga 63 tahun.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas empat buah lori dan dua buah kereta bernilai RM300,000 yang dipercayai digunakan untuk sindiket tersebut menjalankan kegiatan penghantaran rokok seludup berkenaan dan kami turut merampas wang tunai sebanyak RM2,200 daripada lima lelaki itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan gudang dan stor berkenaan sebagai tempat menyimpan serta transit semua rokok tersebut sebelum diedarkan kepada rangkaian mereka di kawasan utara, pantai timur serta Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, sindiket itu dipercayai telah lama beroperasi dan pernah ditahan sebelum ini namun masih meneruskan kegiatan penyeludupan rokok kerana mempunyai rangkaian pengedaran serta mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Menurut Zainal Abidin, siasatan juga mendapati sindiket itu membawa masuk rokok berkenaan yang diseludup masuk dari negara jiran menggunakan jalan laut dan pemindahan rokok dibuat di tengah laut bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.

“Mereka kemudiannya menyimpan di gudang serta stor milik sebuah syarikat berdaftar malah empat lori yang dirampas berkenaan mempunyai surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Pemeriksaan awal mendapati surat kebenaran MITI itu sah kerana mereka menggunakan sebuah syarikat peruncitan untuk menjalankan penghantaran kononnya barangan runcit namun sebenarnya lori termasuk lori membawa makanan sejuk beku itu membawa rokok-rokok seludup tersebut.

“Di SJR, kita hanya buat pemeriksaan rawak terhadap lori perdagangan, tambahan pula jika ada surat MITI. Bagaimanapun, jika kita memperolehi maklumat khusus mengenai sesebuah kenderaaan (perdagangan) itu, baru kita akan buat pemeriksaan keseluruhan. Lori perdagangan perlu diberi laluan kerana mereka ini menghantar makanan,” katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata polis kini sedang mengesan dalang utama sindiket berkenaan yang dipercayai mempunyai rangkaian penyeludupan rokok di luar negara malah siasatan mendapati mereka dalam perancangan untuk mengembangkan jualan ke kawasan Selatan tanah air.

“Kami percaya sindiket itu bukanlah baru beroperasi kerana mereka mempunyai rangkaian pengedaran dan penyeludupan yang besar, polis tidak menolak kemungkinan ia beroperasi di sebalik beberapa buah syarikat berdaftar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata lima lelaki itu direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 135(1) (b) Akta Kastam 1967. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas