Berita

Polis Kelantan sentiasa siap siaga, sempadan terus dikawal rapi

- Diterbit 12 Februari 2021 7:02 AM MYT

SEHINGGA kini 25 pegawai dan anggota polis di Kelantan telah disahkan positif COVID-19, dan hampir 200 anggota telah diarahkan untuk menjalani kuarantin akibat pandemik itu.

Ketua Polis Negeri Datuk Shafien Mamat berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada kisah pengorbanan lebih 3,000 anggota polis di Kelantan yang terus menjalankan tugas dan tanggungjawab harian seperti biasa, walaupun berhadapan dengan risiko jangkitan.

Beliau berkata pada masa yang sama juga anggota polis terpaksa “menelan” tohmahan dan kejian segelintir masyarakat yang tidak berpuas hati apabila dikenakan tindakan setelah melanggari Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Siang buat sekatan jalan raya dan malam pula sebagai pasukan pemantau, itu cabaran anggota kami, (kemudian) perlu menangani masalah keluarga dengan tiada cuti, selain bertugas dengan ‘mengabaikan’ penat dan lelah,” katanya kepada Bernama.

Katanya pernah satu ketika semua anggota di sebuah balai terpaksa dikuarantin apabila salah seorang anggotanya dijangkiti COVID-19 dan disebabkan itu, anggota ganti daripada ibu pejabat terpaksa dihantar bagi mengelak urusan membantu masyarakat akan tergendala.

Katanya orang ramai perlu memahami betapa terdedahnya anggota polis dijangkiti COVID-19, hanya melalui satu kes tangkapan, akhirnya boleh menjangkiti ramai.

“Bayangkan ia bermula dari seorang suspek yang positif COVID-19 yang kita tidak tahu puncanya. Sejak mula ditahan, direman di dalam lokap sehinggalah dibawa ke mahkamah, betapa terdedahnya risiko yang boleh menjangkiti lebih ramai lagi jika tidak berwaspada,” katanya.

Shafien berkata itulah cabaran yang perlu dilaksanakan demi untuk rakyat dan negara dan meminta semua anggota polis meletakkan tahap kesabaran yang tinggi walaupun berada dalam situasi genting atau “panas” kerana rakyat memerhatikan tindak-tanduk anggota polis.

“Kepada yang menghargai peranan kami, kami mengucapkan terima kasih, contohnya yang sudi menghantar makanan dan minuman kepada anggota di SJR,” katanya.

Mengulas mengenai penugasan di sempadan, Shafien berkata semua lorong-lorong tikus di sepanjang lebih 100 kilometer sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan yang dikenal pasti telah pun ditutup dan dikawal ketat bagi mengelak berlakunya aktiviti penyeludupan.

“Walaupun ketika COVID-19, pasukan keselamatan tidak leka dalam mengawal sempadan negara di sini yang hanya dibatasi sungai serta banyak rintangan lain lagi, dan alhamdulillah kita berjaya menanganinya,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas