Berita

Polis berkas 32 penagih, tokan dadah dalam Op Sarang

- Diterbit 5 Oktober 2020 10:03 AM MYT

SERAMAI 32 individu tempatan ditahan polis menerusi Op Sarang yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula Sabtu lepas hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun berikutan penglibatan langsung dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Petaling Jaya.

“Pihak polis melakukan beberapa serbuan di kawasan flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Putra Damai, Lembah Subang dan Kelana Jaya sehingga membawa kepada penahanan mereka yang disyaki tokan dan pengguna dadah.

“Menerusi serbuan berakhir 6 pagi semalam itu, polis menemukan kira-kira 549 gram dadah merangkumi syabu, heroin dan ganja bernilai lebih RM21,000,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dua daripada individu yang ditahan dalam proses untuk Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 sementara dua lagi akan disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sedang menunggu laporan patologi.

Susulan itu, katanya kesemua suspek ditahan reman empat hari dan disiasat mengikut kesalahan yang dilakukan, antaranya Seksyen 6, 12(2), 15(1)(a), 39A(1) dan 39B ADB 1952. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas