Berita

Polemik politik tidak jejaskan fokus membantu warga memerlukan

FAROUK Mohd Noor turut serta membantu melancarkan proses agihan sumbangan hasil tajaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Chicken Boss.
- Diterbit 21 Ogos 2021 2:00 AM MYT

PERGOLAKAN dan polemik politik semasa tidak sewajarnya menjejaskan usaha membantu warga yang memerlukan di kawasan parlimen diwakili oleh wakil rakyat yang dipilih.

Perkara tersebut tegas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar perlu dielak demi memastikan aspek kebajikan rakyat yang diwakili terbela seterusnya memberikan khidmat berkesan untuk kebaikan bersama.

Beliau berkata, program agihan sumbangan ayam mentah yang dilaksana bersama wakil penduduk setempat termasuk Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5, akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi gambaran jelas iaitu rakyat adalah keutamaan.

“Polemik politik dalam kalangan parti terlibat di peringkat pusat tidak wajar dijadikan alasan bagi menghentikan program kebajikan yang berpaksi kepada kepentingan rakyat.

“Perkara ini perlu diberikan keutamaan kerana ia beri gambaran tidak baik untuk masa depan parti  diwakili. Jadi sebagai pemimpin Parlimen, rakyat mahu kita berkhidmat bukanlah melihat polemik politik hingga jejaskan kelangsungan mereka,” katanya dalam Program Sumbangan Ayam Untuk Penduduk di Taman Tenaga, Bandar Tun Razak.

Kamarudin diwakili Naib Ketua Bersatu Bandar Tun Razak, Shaharuddin Abd. Aziz menyantuni 10 wakil Persatuan Penduduk dengan sumbangan 300 ayam mentah hasil kerjasama oleh syarikat Chicken Boss yang dijangka memanfaatkan 300 keluarga B40 di kawasan perumahan sekitar.

Sementara itu, bagi Pengerusi MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak, Farouk Mohd Noor, usaha dan keprihatinan Ahli Parlimen juga bekas Timbalan Menteri Luar itu sangat dihargai memandangkan dalam situasi semasa pandemik COVID-19, ramai warga penduduk terkesan telah dibantu.

“Kami sebagai wakil penduduk kawasan ini, amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen yang telah banyak membantu warga memerlukan melalui pelbagai inisiatif bantuan yang dianjur termasuk sumbangan bakul makanan, bahan mentah dan bantuan lain seperti kerja-kerja sanitasi sebagai langkah mencegah penularan COVID-19.

“Saya yakin hasil gerak kerja dilakukan, warga di sini mengalu kepimpinan YB di Bandar Tun Razak dengan tangan terbuka dan menjadi harapan kita fokus kebajikan rakyat ini akan diberi keutamaan pada masa akan datang demi manfaat bersama,” katanya.

Selain wakil MPPWP Sub Zon 5, program agihan sumbangan pagi Ahad itu turut diserikan dengan kehadiran sukarelawan dari Penggerak Komuniti Negara (Penggerak) yang membantu melicinkan lagi proses agihan sumbangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas