Berita

PM ulangi gesaan segerakan proses tender projek tebatan banjir

- Diterbit 21 Mac 2023 2:53 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican untuk menyegerakan proses tender projek tebatan banjir di seluruh negara.

Beliau menegaskan bahawa langkah berkenaan bagi mengurangkan tekanan dihadapi mangsa banjir akan risiko bencana itu pada tahun mendatang.

“Bagi langkah tebatan banjir, saya meminta Perbendaharaan untuk menyegerakan proses tender supaya dapat mengurangkan tekanan untuk tahun mendatang.

“Namun langkah segera, terutama membeli ‘waterjet’ sudah dilakukan. Saya percaya ini dapat membantu rakyat di bawah yang tertekan dan akan memberi makna yang besar,” katanya ketika berucap pada program pelepasan pasukan sukarelawan penjawat awam pascabanjir ke Johor, di Putrajaya hari ini.

Seramai 1,520 penjawat awam seluruh negara menyertai program selama dua hari itu dan akan di koordinasikan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Perdana Menteri berkata, keadaan pascabanjir juga mencabar yang menuntut usaha tambahan bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa dipikul mangsa yang terlibat.

“Saya hadir untuk mengucapkan terima kasih kepada saudara (penjawat awam). Pascabanjir juga mencabar, jadi tidak mampu keluarga dan jabatan sedia ada di Segamat atau Batu Pahat melainkan ada usaha tambahan.

“Ketua Setiausaha Negara memaklumkan ribuan penjawat awam sukarela hadir untuk berkhidmat lebih daripada tugas hakiki mereka… saya mengucapkan penghargaan setingginya.

“Ini satu permulaan yang baik sebelum Ramadan, satu ibadah yang kita sempurnakan dengan baik. Saya doakan semoga perjalanan berjalan lancar.

“Khidmat (sukarela) bukan tugas hakiki, ini tugas tambahan, sukarelawan, tugas yang tidak kenal penat lelah, jadi lakukan sebaiknya,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas