Berita

PM setuju beri tawaran harga baharu

PEMILIK dan pewaris taah Kampung Baru yang hadir pada sesi Town Hall bersama Khalid di Dewan Perdana Felda pada 21 September lalu.
- Diterbit 10 Oktober 2019 7:22 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

PUTRAJAYA – Hasrat pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru untuk mendapatkan tawaran harga yang lebih tinggi telah dibawa ke­pada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pihaknya telah membawa isu harga jualan tanah di Kampung Baru kepada Perdana Men­teri baru-baru ini dan beliau menyatakan persetujuan agar satu tawaran harga baharu dikemukakan kepada pemilik tanah di kampung tersebut.

“Saya sudah jumpa Tun Dr. Mahathir dan beliau telah memberikan beberapa ga­ris panduan agar perkara itu dibincangkan semula dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) agar satu formula harga baharu dapat ditawarkan kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

“Selepas itu saya akan mengemukakan tawaran baharu tersebut nanti,’’ kata­nya kepada pem­berita di sini baru-­baru ini.

Pada sesi Town Hall bersama Khalid di Kuala Lumpur pada 21 September lalu, rata-rata pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru meminta kerajaan menaikkan tawaran harga jualan berbanding RM850 sekaki persegi yang diumumkan dalam majlis tersebut.

Bagi membalas reaksi ter­sebut Khalid menyatakan, sama ada tawaran lebih baik boleh diberikan berbanding tawaran RM850 sekaki persegi sebelum ini bergantung kepada perbincangan dengan Perdana Menteri.

“Jadi saya akan bercakap dengan Tun (Dr. Mahathir), sebaik saja saya sahkan dan akan kata ini merupakan tawaran terakhir, kalau mereka terima Alhamdulillah, kalau tak terima apa saya boleh buat? Itu hak mereka.

“Kalau terima kita teruskan, kalau tak terima mungkin saya kena jumpa seorang demi seorang, dalam kumpulan kecil bagi menerangkan kepada mereka,” katanya.

Khalid berkata, beliau akan turut melihat sama ada ter­dapat kemungkinan tawaran juga boleh diberikan dalam bentuk saham daripada projek pembangunan Kampung Baru.

“Katakanlah setiap orang diberikan saham dalam pembangunan itu, sekiranya projek itu berjaya dan mencapai keuntungan, maka semua orang akan dapat manfaat daripadanya kerana kita khuatir kalau kita tawarkan satu harga yang terlalu tinggi, ianya akan menjejaskan daya maju projek itu.

“Kita kena tentukan tawaran yang dibuat munasabah dan boleh menjamin keuntungan, bukan sekadar keuntungan, tetapi juga kebolehlaksanaannya dan tidak rugi,” katanya.

Mengenai cadangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya kaedah pajakan diguna pakai sebagai alternatif untuk menyelesaikan kemelut tanah Kampung Baru, Khalid berkata kaedah itu agak sukar untuk dilaksanakan.

“Apa akan berlaku ialah semua penduduk Kampung Baru takkan dapat nilai tanah mereka kerana kita sewakan, bukan jual.

“Yang kedua, pajakan bererti selepas habis tempoh itu orang yang sudah majukan bina rumah, bangunan dan sebagainya kena serahkan balik.

“Adakah pemaju sanggup begitu? Belanja bina bangunan selepas itu serah balik kepada penduduk,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas