Berita

PM Muhyiddin kongsi pengalaman berjuang melawan kanser

PUTRAJAYA, 2 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat secara persidangan video bersama wakil peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Bangunan Perdana Putra hari ini.
- Diterbit 4 Februari 2021 12:56 PM MYT

SEMPENA Hari Kanser Sedunia hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit tersebut dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Perdana Menteri dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasmi beliau turut berkongsi pengalamannya selaku bekas pesakit kanser, dan beliau memahami keperitan serta kesukaran yang ditanggung pesakit kanser dalam melawan penyakit tersebut.

“Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini. Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih,” katanya.

Muhyiddin berkata selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh.

Justeru bagi mengelak kanser dikesan lewat, perdana menteri menyarankan orang ramai agar melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.

“Buatlah pemeriksaan awal dan paling penting, segeralah menjalani rawatan sekiranya anda disahkan menghidap kanser. Jangan takut dan bertangguh.

“Apa jua penyakit, Insya-Allah boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul,” kata Muhyiddin.

Dalam hantaran yang sama, perdana menteri turut memberikan kata-kata semangat untuk rakyat Malaysia yang sedang berjuang melawan kanser supaya kekal optimis.

“Ramai pesakit kronik termasuk kanser yang saya kenali berjaya melawan penyakit tersebut dan kini menjalani kehidupan seperti biasa.

“Jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat – anda bukan menghadapinya seorang diri,” katanya.

Hantaran perdana menteri itu turut diiringi dengan tanda pagar #SayaAkandanSayaBoleh serta #IAmAndIWill yang merupakan tema sambutan Hari Kanser Sedunia.

Turut dimuatkan gambar reben berwarna ungu cerah yang merupakan simbol kesedaran kanser secara umum.– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas