Berita

PM, Kabinet potong 2 bulan gaji sumbang Tabung Covid-19

Perdana Menteri dan anggota Kabinet bakal sumbangkan dua bulan gaji untuk Tabung Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 26 Mac 2020 9:18 AM MYT

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri akan menyumbangkan dua bulan gaji mereka untuk disalurkan kepada Tabung Covid-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19,” kata kenyataan itu.

Pada 11 Mac lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melancarkan Tabung Covid-19 dengan dana permulaan RM1 juta, yang akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bertujuan untuk membantu rakyat yang terjejas ejoran wabak itu.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, sehingga semalam, jumlah yang telah dikumpul tabung itu, termasuk geran kerajaan adalah sebanyak RM8,493,103.48. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas