Berita

PM beri sinar baharu kepada industri batik Malaysia

|PERDANA Menteri menggayakan baju batik ketika membuat lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bermula semalam. Usaha ini diyakini mampu memberikan lonjakan baharu terhadap industri batik tempatan.||
- Diterbit 11 November 2021 1:28 AM MYT

BATIK merupakan satu warisan negara yang harus kita banggakan. Jadi sebagai rakyat Malaysia kita harus mengangkat seni batik itu seperti mana yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Inisiatif Perdana Menteri yang menggayakan baju batik ketika membuat lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bermula semalam diyakini mampu memberikan lonjakan baharu terhadap industri batik tempatan.

Pengusaha batik, Md Hanafi Md Sukarpi, berkata inisiatif Perdana Menteri itu secara tidak langsung memberikan pendedahan dan menguatkan lagi nilai komersial batik tempatan supaya lebih berdaya saing, termasuk peluang meneroka pasaran luar.

“Selain memberi lonjakan baharu, inisiatif Perdana Menteri itu juga dilihat sebagai usaha memartabatkan lagi industri batik tempatan yang sebelum ini berdepan pelbagai cabaran.

“Dengan pendedahan dan promosi yang berterusan, saya percaya batik tempatan akan diterima lebih meluas dan mendapat perhatian ramai, termasuk golongan muda dalam memartabatkan warisan budaya tempatan,” katanya.

PERDANA Menteri menggayakan baju batik ketika membuat lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia bermula semalam. Usaha ini diyakini mampu memberikan lonjakan baharu terhadap industri batik tempatan.

Bertitik tolak daripada usaha Perdana Menteri itu, pemilik Salur Bayangan Collection dari Rawang, Selangor itu menyeru pengusaha batik tempatan untuk tampil dengan rekaan dan permainan warna yang moden serta berani supaya lebih diterima.

Pada masa sama, katanya pengusaha juga perlu mengekalkan keaslian dan nilai estetika batik tempatan yang selama ini menjadi ciri khas yang membezakannya dengan batik luar.

“Pengusaha perlu sentiasa melakukan kajian dan memahami kehendak pasaran supaya batik tempatan mendapat tempat di hati semua kelompok masyarakat. Rekaan batik juga perlu selari dengan kehendak pasaran terkini supaya dapat menambat hati generasi muda.

“Berdasarkan pengalaman, generasi muda lebih cenderung memilih corak geometri dan tidak konvensional. Pemilihan warna yang minimal turut memainkan peranan dan ia mencabar saya sebagai pengusaha supaya sentiasa kreatif menampilkan idea baharu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fesyen Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Shabri Saad pula melihat insiatif Perdana Menteri itu sebagai pengiktirafan, sekali gus memberi dorongan kepada penggiat batik tempatan untuk terus memajukan industri itu.

“Saya melihat usaha Perdana Menteri itu sebagai pengiktirafan, malah memberikan kepuasan tersendiri kepada pengusaha batik kerana ia secara tidak langsung memartabatkan hasil karya anak tempatan.

“Sokongan pembesar negara itu memberi anjakan dan dorongan kepada pengusaha untuk terus memasyarakatkan batik supaya diterima semua kelompok masyarakat, selari konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan Perdana Menteri,” katanya.

Shabri berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dan inisiatif Perdana Menteri itu wajar dipuji dalam menerapkan lagi semangat cintakan batik tempatan.

“Pengusaha batik perlu berani menghasilkan rekaan yang lebih muda dan moden kerana generasi muda ini yang akan meneruskan legasi itu. Belum terlambat untuk kita tanamkan minat terhadap batik, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Antara usaha itu termasuk mempelbagaikan rekaan yang terkini dan bersesuaian usia semua kelompok masyarakat, selain memenuhi selera peminat fesyen pada harga berpatutan.

“Inisiatif Perdana Menteri itu saya lihat umpama magnet kerana tanpa disedari, mampu menarik minat ramai untuk menggayakan batik. Ia secara tidak langsung memberi dorongan kepada penggiat batik untuk terus melakukan inovasi supaya lebih berdaya saing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas