Berita

PLW Explorace teroka ekosistem Wetland

SEKITAR aksi ketika penganjuran PLW Explorace 2022 yang diadakan di Taman Wetland Putrajaya Disember lalu.
- Diterbit 20 Mei 2023 6:00 AM MYT

PUTRAJAYA Lake and Wetland (PLW) Explorace yang merupakan Program Apresiasi Ekohidrologi Tasik dan Wetland Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) bakal diadakan pada 21 Mei ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Tasik & Wetland, Normaliza Noordin berkata program tersebut secara tidak langsung memberi ruang buat para peserta menimba pengalaman serta pengetahuan yang baharu.

“Melalui explorace ini, para peserta dapat menimba pengetahuan yang luas berkaitan ekosistem di Taman Wetland. Nescaya semakin kita kenal Tasik dan Wetland Putrajaya, semakin kita teruja untuk  memelihara dan menjaga kebersihannya,” katanya kepada Wilayahku.

Normaliza berkata PLW Explorace khususnya bagi kategori pelajar Institut Pengajian Tinggi mula diadakan pada tahun 2011 dan buat julung kalinya kategori remaja pelajar sekolah diperkenalkan untuk program kali ini.

“Aktiviti adalah berbentuk ekspedisi secara berkumpulan yang terdiri daripada dua orang pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 17 tahun.

“Program ini adalah kesinambungan pelaksanaan aktiviti berteraskan pendidikan ekosistem dan alam sekitar untuk memberi pengetahuan serta kefahaman yang lebih mendalam kepada peserta khususnya remaja pelajar sekolah.

“la juga adalah sebagai satu kempen promosi untuk memperkembangkan potensi individu dengan memberi pendedahan dan pendekatan penghayatan kendiri dalam usaha menyempurnakan tugasan,” ujarnya PLW Explorace di bawah Program Lokal Agenda (LA21) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Penerangan Awam UNESCO-IHP Malaysia.

Berkongsi mengenai penerimaan orang ramai, Normaliza berkata pihaknya teruja dengan sambutan yang menggalakkan di mana peserta program sulung ini juga akan menjadi penanda aras.

“Ketika ini PLW Explorace telah mencapai sasaran penyertaan di mana sebanyak 50 pasukan telah berdaftar. Peserta program sulung ini akan menjadi penanda aras menguji trek laluan serta modul-modul teknikal dan akan melalui perjalanan sejauh 6.5 kilometer.

“Mereka perlu menyiapkan lapan tugasan termasuklah cabaran ‘lake crossing’ di Central Wetland serta cabaran ‘fear factor’. Reka bentuk tugasan yang disediakan turut memberi peluang kepada peserta untuk lebih mengenali spesies burung, ikan, tumbuhan, serangga, meneliti kualiti air dan sebagainya,” katanya anjuran kali ini juga turut mendapat kerjasama strategik daripada syarikat Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd (ASMA) dan Nestle Malaysia.

Tambahnya pemenang tempat pertama, penerima Anugerah Emas dengan gelaran Lake Warrior 2023 Kategori Remaja Sekolah bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500 beserta sijil. Tempat kedua, Anugerah Perak dengan hadiah wang tunai RM300, sijil dan medal manakala tempat ketiga pula akan menerima Anugerah Gangsa beserta wang tunai RM200, sijil dan medal.

Normaliza berkata hadiah wang tunai RM100 bagi pasukan terbaik lelaki, wanita dan campuran turut disediakan manakala hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai serta barangan yang bernilai lebih RM1,000 juga ditawarkan kepada peserta terlibat.

Flag off pertandingan dijadualkan pada pukul 8 pagi, disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, merangkap Setiausaha Kehormat UNESCO-IHP Malaysia, Ir Azmi Ibrahim. Turut hadir Naib Presiden Perancangan Bandar, Shamsul Bahrin Rahmat, wakil-wakil agensi rakan strategik dan penaja,” ujarnya majlis penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud pada pukul 12 tengah hari. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas