Berita

PLD Kuala Lumpur platform terbaik cungkil bakat muda

PASUKAN PLD Kuala Lumpur yang muncul juara kategori 13 tahun.
- Diterbit 6 Disember 2019 11:52 AM MYT

Oleh Muhamad Nabeel

KUALA LUMPUR – Pasukan Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Lumpur muncul juara kategori umur 13 tahun pada Grand Final Liga PLD 2019, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) baru-baru ini.

Menurut Pengurus Besar Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Yusuf Ibrahim, kejohanan tersebut merupakan peluang terbaik untuk memberi pendedahan kepada bakat-bakat muda bola sepak Malaysia.

“Ia bukan sahaja mendapat sambutan daripada peserta bahkan kesemua ibu bapa pemain juga ha­dir memberikan kerjasama yang baik bagi memastikan kelancaran kejohanan ini,” ujarnya.

Katanya lagi, sebanyak 14 pasukan dilihat bersungguh-sungguh berentap mewakili negeri masing-masing.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di AMD, Gambang, Kuantan itu menyaksikan pasukan PLD Kuala Lumpur menang ke atas pasukan PLD Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Nasib lebih menyebelahi pasukan PLD Kuala Lumpur apabila menang penentuan sepakan penalti dengan 4-3.

Terdahulu, pasukan PLD Kuala Lumpur merakamkan rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan apabila menang dua perlawanan bertemu pasukan Sabah (1-0), Kedah (1-0) sebelum diikat pasukan Kelantan (1).

Grand Final Liga PLD 2019 tersebut juga turut mempertandingkan kategori bawah 15 tahun dan 17 tahun yang mana kategori bawah 15 tahun dimenangi oleh pasukan PLD Pahang manakala pasukan PLD Negeri Sembilan pula muncul juara bagi kategori bawah 17 tahun.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas