Berita

Planetmahir tawar langganan percuma kepada anak ‘frontliners’ hadapi SPM

- Diterbit 9 Februari 2021 6:28 AM MYT

PLANETMAHIR menawarkan langganan kelas digital MAHIR Tutor secara percuma kepada anak-anak petugas barisan hadapan yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Feb ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dalam kenyataan hari ini berkata ia adalah sebagai sumbangan untuk menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan rakyat terpelihara daripada wabak virus yang berbahaya ini.

“Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu anak-anak frontliners (petugas barisan hadapan) membuat ulang kaji pelajaran dan membuat persiapan yang secukupnya bagi menghadapi peperiksaan SPM nanti.

“Planetmahir menawarkan 10 subjek kepada pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM, dan pembelajaran yang dijalankan boleh diikuti pada bila-bila masa kerana dijalankan secara digital ‘video on demand’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Subjek SPM yang ditawarkan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. MAHIR Tutor kini mempunyai seramai lebih 20,000 pelajar yang mengikutinya di seluruh negara.

Pelajar yang ingin mengikuti kelas tuisyen dalam talian percuma tersebut boleh melayari laman web planetmahir.com atau mengubungi Planetmahir di talian 011 2354 3133. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas