Berita

PL salur RM500 kepada 22 keluarga mangsa banjir dan angin kencang

AMIR (dua dari kiri) menyampaikan bantuan wang ehsan kepada salah seorang mangsa banjir di bangunan Menara Perbadanan Labuan, petang hari ini.
- Diterbit 15 Oktober 2021 12:53 PM MYT

PRIHATIN terhadap 22 buah keluarga di sini yang ditimpa musibah banjir dan angin kencang pada September lalu, Perbadanan Labuan ( PL ) tampil menyalurkan bantuan wang ehsan bagi meringankan beban kesemua keluarga terbabit.

Pengerusinya, Datuk Seri Amir Hussien berkata, sebanyak RM500.00 disalurkan kepada setiap keluarga yang membabitkan nilai keseluruhan bantuan itu sejumlah RM11,000.

“Baru- baru ini, Labuan dilanda ribut taufan dan banjir yang dahsyat serta telah menyebabkan banyak rumah penduduk di sini mengalami kerosakan yang teruk.

“Tujuan bantuan ini disalurkan adalah bagi membantu serta meringankan beban yang mereka hadapi susulan bencana banjir dan ribut pada September lalu,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ehsan kepada mangsa banjir dan angin kencang di bangunan Menara Perbadanan Labuan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amir turut memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan tambahan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) agar nilai bantuan itu dapat ditingkatkan.

Insya-Allah dengan kerjasama yang baik daripada KWP, bantuan tambahan tersebut akan disalurkan kepada Perbadanan Labuan dalam masa terdekat,” katanya lagi. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas