Berita

PL pandang serius peningkatan kes denggi di dua lokaliti SPMP

PETUGAS Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Labuan melakukan semburan khas di sebuah rumah SPMP Muslim. Foto: Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Labuan.
- Diterbit 18 Mac 2023 7:00 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) sentiasa memandang serius mengenai isu peningkatan kes denggi di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) lokaliti Muslim dan Kiansam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Labuan sentiasa cakna dan memandang serius mengenai isu tersebut kerana ia boleh menjejaskan nama dan imej Wilayah Persekutuan itu jika ianya tidak dikawal.

Katanya pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan perlu bekerjasama untuk mengekang isu tersebut.

“Salah satunya kita mengambil langkah untuk mengadakan program gotong-royong dengan penduduk kawasan yang terlibat bagi memupuk sifat tanggungjawab.

“Kita juga telah mengadakan mesyuarat khas bersama pelbagai agensi terlibat untuk membincangkan jalan penyelesaian khususnya isu pembuangan sampah yang tidak teratur,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rithuan menegaskan penduduk di kawasan berkenaan perlu mempunyai sifat bertanggungjawab dan sentiasa membudayakan kebersihan di kawasan mereka agar perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

“Penduduk di kawasan terlibat perlu diberikan pendedahan mengenai budaya kebersihan agar isu seperti ini dapat dikekang sekali gus mampu menjaga nama dan imej Labuan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas