Berita

PL luluskan 117 penghantar makanan beroperasi

DR FARY AKMAL OSMAN
- Diterbit 29 April 2020 9:19 AM MYT

LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) meluluskan permohonan 117 penghantar makanan untuk beroperasi sejak awal Ramadan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, pihaknya telah menerima sejumlah 355 permohonan dan Jabatan Kesihatan menjalankan 500 saringan.

“Namun hanya sebanyak 117 permohonan telah diluluskan mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

“Malah permohonan ini telah ditutup berikutan lebih 300 permohonan diterima,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Perbadanan Labuan hari ini.

Dalam pada itu, Fary menyarankan peniaga dan syarikat-syarikat agar menggunakan platform e-commerce (perniagaan dalam talian) bagi meneruskan operasi perniagaan mereka.

“Kita harap ramai peniaga yang akan menggunakan platform ini dan ia menjadi satu titik permulaan bagi memulihkan ekonomi di Labuan.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan akan sedia membantu sekiranya mereka (peniaga) memerlukan sebarang perkhidmatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fary berkata, PL telah memilih beberapa bangunan sebagai simbolik atas saranan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa untuk melaksanakan kempen “Light It Blue” sebagai tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan.

“PL telah memilih sebanyak lima bangunan sebagai simbol “Light It Blue” iaitu Bangunan Wisma Perbadanan Labuan, Menara Perbadanan Labuan, UTC/ Pasar Sentral, Labuan Walk dan Dataran Labuan,” katanya.

FARY (depan, tengah) bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan menerima sumbangn daripada Megah Port Management  yang diwakili, Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Seri Patrick Tiong (depan, kanan).

Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan telah menerima sumbangan 17, 000 topeng muka dan pelindung muka daripada Megah Port Management yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Seri Patrick Tiong.

Dalam pada itu, wakil dari Lion Club of Labuan Host, Prunella Phong menyerahkan sumbangan 460 pelindung muka untuk kegunaan petugas barisan hadapan.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas