Berita

PL, JPS tangani isu banjir di Labuan

FARY membuat tinjauan longkang di kampung Sg Miri. Tinjauan longkang di kampung Sg Miri.
- Diterbit 10 Julai 2020 8:10 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan bagi membantu menyelesaikan isu banjir kilat di Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata, PL telah mengadakan perbincangan bersama dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)Labuan bagi menangani isu berkaitan banjir ini.

“Langkah-langkah untuk mengatasi banjir kilat ini telah dikenalpasti seperti menambah pam untuk tujuan pelepasan air keluar ke laut dan kerja-kerja pembesaran parit juga turut dilaku.

“Selain itu, PL juga akan bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Penduduk ( MPP ), Ketua  Kampung dan komuniti untuk melakukan kerja-kerja pembersihan parit dan longkang di kampung masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan parit dan longkang di beberapa kampung, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata PL telah menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir dengan mengagihkan Pemberian Wang Ehsan kepada penduduk di tiga buah kampung terjejas banjir kilat pada bulan Jun lalu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 19 buah keluarga telah menerima manfaat dari Peruntukan Tabung Pengurusan Bencana secara one-off sebanyak RM500.00 setiap keluarga.

“Pemberian Wang Ehsan ini disalurkan menggunakan Peruntukan Tabung Pengurusan
Bencana PL yang berperanan dalam membantu penduduk Labuan yang mengalami sebarang musibah seperti banjir, kebakaran, kerosakan akibat ribut dan lain-lain musibah
yang tersenarai di dalam bantuan tabung bencana tersebut,” katanya.

Beliau mengharapkan dengan kelulusan peruntukan yang diperolehi oleh pihak JPS dan inisiatif yang diambil oleh pihak PL akan dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di pulau ini dan bantuan pasca banjir yang disumbangkan akan dapat meringankan beban
penduduk yang terlibat dengan musibah ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas