Berita

PL beri pengecualian fi lesen selama setahun

ANNUAR meninjau peniaga pasar dan penjaja di Labuan semasa lawatan rasmi beliau di sana baru-baru ini. - Foto:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 11 Jun 2020 2:33 PM MYT

PERBADANAN Labuan ( PL ) akan melaksanakan pengecualian bayaran fi lesen penjaja selama setahun dibawah Undang- Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan) 2016 bermula 1 Jun ini sehingga 30 Jun 2021.

Pengecualian tersebut selaras dengan pengumuman pemberian lesen peniagaan percuma kepada peniaga-peniaga di Labuan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa ketika lawatan kerja beliau ke Labuan pada 9 Jun lalu.

DR FARY AKMAL

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Fary Akmal Osman berkata, pengecualian bayaran fi lesen penjaja melibatkan pengurangan kutipan hasil PL sejumlah RM 48,260 setahun.

“PL akan membenarkan warga Labuan menjalankan perniagaan di kawasan perumahan, kediaman dan di sekitar kampung.

“Bagi peniaga baru yang berhasrat menjalankan aktiviti perniagaan perlu memohon kelulusan PL dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya lagi, penjaja dan peniaga-peniaga pasar yang sedia ada hanya perlu mengemaskini lesen yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Fary berkata pihak PL bersetuju untuk melanjutkan tempoh sah laku pendaftaran kad perkhidmatan penghantaran makanan yang telah berdaftar dengan PL.

“Sebanyak 122 perkhidmatan penghantaran makanan akan dilanjutkan kad perkhidmatan mereka sehingga 31 Disember tahun ini mengikut peraturan SOP yang ditetapkan.

“Inisiatif ini bakal membantu rakyat dan peniaga menjana semula perniagaan dan pendapatan dalam menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas