Berita

PL agih 8,000 bakul makanan dalam tempoh dua hari

- Diterbit 19 Jun 2021 7:10 AM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) menerusi Pasukan Operasi Wilayah Prihatin Labuan telah mengagihkan sebanyak 8,000 bakul makanan di empat lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar setakat hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Fary Akmal Osman berkata, bermula semalam Pasukan Operasi Wilayah Prihatin telah menghantar sebanyak 1,000 bakul makanan dan dianggarkan sebanyak 7,000 bakul makanan akan diagihkan pada hari ini.

Antara lokaliti yang telah menerima bantuan bakul makanan setakat ini ialah Taman Mutiara dan Perumahan LDA, Bukit Kalam, Patau-Patau Satu, Patau-Patau Dua dan Tanjung Aru.

Bagaimanapun, bagi kawasan lokaliti yang belum menerima bantuan itu PL kini dalam usaha mempercepatkan lagi usaha pengagihan bantuan itu dari masa ke semasa.

” Dalam tempoh dua hari, kita telah mengagihkan 8,000 bakul makanan setakat ini. Memandangkan penghantaran bekalan makanan dijangkakan hampir setiap hari dari Subang, kita anggarkan agihan bakul makanan bagi fasa pertama akan selesai selewat-lewatnya pada Selasa.

” Bagi pengagihan fasa pertama, sebanyak 15,000 bakul makanan akan diagihkan kepada semua penduduk yang berada di lapan lokaliti PKPDB,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai bantuan bakul makanan bagi penduduk di luar lapan kawasan lokaliti yang terjejas, Fary memaklumkan pihaknya telah memperuntukkan sebanyak 3,000 bakul makanan dan hasil sumbangan dari pihak swasta akan diagihkan kepada penduduk yang terkesan susulan PKPD ketika ini.

” Mereka yang terkesan boleh memohon dengan menghubungi PL atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tindakan akan diambil bagi membantu mereka yang terkesan di luar kawasan lapan lokaliti,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas