Berita

PKRC Stadium Tertutup MBPG dipasang kawat duri

- Diterbit 10 Februari 2021 6:37 AM MYT

PUSAT Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) pertama di Johor, di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang mula beroperasi hari ini, dipasang kawat duri serta dikawal ketat agensi keselamatan termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Datuk Bandar MBPG Asman Shah Abdul Rahman berkata ia bagi memastikan kawasan PKRC itu yang dijangka beroperasi pada 1 tengah hari ini tidak mudah dimasuki oleh mana-mana pihak yang tidak berkenaan termasuk orang awam.

Beliau berkata kawasan di sekitar stadium itu yang kebiasaannya menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah turut ditutup.

“Pihak kami dan jawatankuasa keselamatan telah ambil langkah tertentu termasuk menutup sekitar kawasan stadium ini kerana kebiasaannya ramai orang bersukan, joging di sini. Kawasan ini ditutup dengan kawalan ketat, kita tidak benarkan orang tidak berkenaan masuk ke kawasan ini.

“Ia dikawal FRU selama 24 jam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya kepada pemberita selepas menerima bantuan peralatan tambahan untuk kegunaan PKRC berkenaan daripada Lotte Titan Chemical Sdn Bhd di sini, hari ini.

Asman Shah berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya pihak MBPG menerima aduan daripada penduduk di Pasir Gudang berhubung pembukaan PKRC di stadium berkenaan.

Beliau berkata PKRC Stadium MBPG dijangka menerima seramai 100 pesakit pada hari ini, justeru orang ramai terutama penduduk di sekitar Pasir Gudang dinasihatkan supaya tidak perlu khuatir kerana langkah keselamatan telah diambil.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menerima empat televisyen, 10 penapis air minuman dan empat mesin pengisar injakan (treadmill) daripada Lotte Titan Chemical Sdn Bhd untuk kegunaan PKRC itu.

“Saya juga mengalu-alukan semua pihak industri untuk turut sama melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dengan menyumbang untuk kegunaan PKRC ini,” katanya.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Pengarah dan Komander PKRC Johor Dr Mohd Fathi Zaki Mohd Zakaria dan Naib Presiden Eksekutif Pembuatan Lotte Titan Chemical Sdn Bhd, Lee Jung Hyeng. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas