Berita

PKPD: Pekerja selain perkhidmatan perlu tidak boleh bekerja di pejabat – Saravanan

PERINGATAN tersebut susulan pengumuman pelaksanaan PKPD di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai. Kredit foto oleh: MYKMU.NET PERINGATAN tersebut susulan pengumuman pelaksanaan PKPD di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai. Kredit foto oleh: MYKMU.NET
- Diterbit 2 Julai 2021 7:21 AM MYT

PEKERJA selain dalam perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak boleh bekerja di pejabat atau tempat kerja sepanjang tempoh PKPD, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Peringatan tersebut susulan pengumuman pelaksanaan PKPD di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok hingga 16 Julai.

“Justeru, majikan adalah dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah (BDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata majikan digesa supaya mematuhi arahan PKPD dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan khususnya dari segi penetapan kapasiti kehadiran pekerja di pejabat atau tempat kerja seperti yang ditetapkan.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima banyak aduan daripada pekerja bahawa mereka diugut oleh majikan untuk hadir bekerja seperti biasa dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.

Saravanan berkata sekiranya pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada KSM menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

Selain kategori aduan BDR, aplikasi itu juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu perburuhan.

“KSM sentiasa memberi perhatian terhadap aduan-aduan yang diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,878 aduan direkodkan melalui aplikasi WFW dalam tempoh 23 Mei hingga semalam berhubung aduan majikan tidak membenarkan pekerja BDR.

Antara negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan BDR ialah Selangor dengan 696 aduan, diikuti Kuala Lumpur (505 aduan), Johor (196 aduan) dan Pulau Pinang (123 aduan).

Sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat atau tempat kerja telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi tempoh 1 Jun hingga 1 Julai, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas