Berita

PKPD Kuala Lumpur, Selangor 14 hari

PKPD akan dilaksanakan selama 14 hari di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur dan mukim-mukim Selangor.
- Diterbit 5 Julai 2021 3:19 AM MYT

BEBERAPA lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, mulai 3 hingga 16 Julai ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu turut melibatkan 34 mukim di Selangor.

Jelas beliau, keputusan itu ­dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pembentangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi COVID-19 di kedua-dua negeri tersebut.

“Kedua-dua negeri ini menunjukkan trend jangkitan yang tinggi. Selangor melaporkan purata kes harian COVID-19 antara 1,800 ke 1,900.

“Manakala di Kuala Lumpur purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000. Kesemua daerah di Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan ­insiden kes jangkitan melebihi 12.1 per 100,000 penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, data unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kedua-dua negeri tersebut masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan.
“Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi ­pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan berikutan terlalu banyak pelanggaran arahan serta prosedur operasi standard diwartakan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas