Berita

PKPB Klang: Tidak perlu kebenaran polis jika ada surat majikan

- Diterbit 9 Oktober 2020 8:00 AM MYT

PEKERJA yang tinggal di kawasan dilaksanakan sekatan jalan raya (SJR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan daripada majikan masing-masing supaya tidak timbul masalah ketika melalui SJR.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pekerja yang mempunyai surat pelepasan perjalanan daripada majikan tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk keluar bekerja.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai surat pengesahan bekerja yang dikeluarkan majikan atau pas pekerja, mereka boleh memuat turun borang tersebut atau mendapatkannya dalam laman Facebook ibu pejabat polis daerah yang berkaitan atau boleh memperolehnya di lokasi sekatan jalan raya di kawasan terbabit.

“Mereka boleh memuat turun borang kebenaran dalam laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang Utara dan Shah Alam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Noor Azam berkata demikian bagi mengelak kekeliruan orang ramai mengenai pergerakan di mukim Klang yang dikenakan PKPB mulai hari ini hingga 23 Okt.

Beliau berkata pelaksanaan SJR diadakan di Bayu Perdana, Sri Andalas serta Bukit Tinggi dalam mukim Klang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan butiran pada borang berkenaan diisi dengan lengkap bagi mengelak kesesakan ketika mereka melalui SJR yang dijalankan pihak polis.

Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Okt susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Ismail Sabri dilaporkan berkata pelaksanaan PKPB adalah bagi membendung penularan COVID-19 di kawasan terbabit, selain bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksana sepanjang tempoh 14 hari. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas