Berita

PKP: Syarikat produksi jalani penggambaran dinasihat segerakan perjalanan pulang

- Diterbit 20 Januari 2021 8:13 AM MYT

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencadangkan syarikat produksi yang sedang menjalani aktiviti penggambaran di enam negeri yang bakal  dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agar menyegerakan perjalanan pulang mereka ke lokasi masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata ini bagi mengelakkan sebarang kekangan dan kesulitan memandangkan aktiviti penggambaran adalah tidak dibenarkan di seluruh kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

“Finas mengesyorkan kepada mana-mana syarikat produksi yang ingin melakukan perjalanan pulang melibatkan pergerakan rentas negeri perlulah mendapatkan kelulusan pergerakan rentas negeri daripada polis dengan menyertakan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) yang dikeluarkan Finas sebagai dokumen sokongan,” katanya menerusi kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah PKP selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Jan ini hingga 4 Feb.

Ahmad Idham berkata Finas akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui medium hebahan media dan laman sesawang Finas di www.finas.gov.my serta media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter @FINASMalaysia.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan Unit Komunikasi Korporat FINAS di talian 03-7968 2182 atau e-mel di [email protected]. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas