Berita

PKP: Finas mohon MKN benarkan aktiviti penggambaran

- Diterbit 2 Februari 2021 2:53 PM MYT

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN), dapat mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, demi memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas.

Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid berkata, MKN diharap sekurang-kurangnya membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan dalam premis tertutup dan studio merangkumi drama, telefilem, penstriman langsung, dokumentari dan sitkom tanpa penonton.

Beliau berkata pertimbangan itu berdasarkan kepada asas-asas termasuklah, sektor industri kreatif merupakan antara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula pada 13 Jan lalu juga telah menjejaskan pendapatan dan ekonomi penggiat industri kreatif, berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh penggiat industri kreatif ketika menjalankan aktiviti penggambaran telah membuktikan semasa tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat, tiada kluster COVID-19 yang wujud berpunca daripada aktiviti penggambaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Finas juga sedia bekerjasama dengan MKN melalui pasukan penguatkuasa daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas, bagi memantau dan memastikan pematuhan SOP sekiranya aktiviti penggambaran dibenarkan.

Zakaria berkata seawal pelaksanaan PKP 2.0, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan memohon pertimbangan MKN, untuk memberi kelonggaran berkenaan.

Menurutnya, Finas juga telah menghantar kertas cadangan SOP Penggambaran Dalam Studio kepada MKN melalui Bahagian Pembangunan Kandungan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), namun sehingga kini masih tidak menerima apa-apa maklum balas daripada MKN.

“Seperti sedia maklum, industri kreatif di negara ini digerakkan penggiat industri yang bersifat bekerja bebas. Tentunya, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Jan lalu, telah memberi impak kepada sumber pendapatan mereka berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan, lebih-lebih lagi pelanjutan tempoh PKP sehingga 18 Feb,” katanya.

Katanya, Finas optimis dengan kewibawaan kerajaan dan MKN, dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan krisis kesihatan yang sedang dihadapi negara kini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas