“PKP bukanlah tempoh buat anak” -Ayu Damit
SUAMI penguat semangat Ayu.

“PKP bukanlah tempoh buat anak” -Ayu Damit

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 yang bermula pada Mac lalu, ramai rakyat risau kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan diri serta keluarga.

Begitu juga dengan para artis tempatan yang turut menerima nasib yang sama apabila semua aktiviti penggambaran dan acara nyanyian terpaksa dibatalkan.

Ini diakui sendiri oleh penyanyi yang juga juara One In A Million musim pertama, Ayu Damit.

“Tidak dinafikan, di awal tempoh PKP saya berasa agak terkilan kerana semua undangan nyanyian terpaksa dibatalkan. Iyalah.. nyanyian adalah mata pencarian utama saya.

“Namun, saya tidak boleh mengalah dengan situasi ini kerana kehidupan mesti diteruskan. Jadi saya mula fokus bisnes kecil-kecilan dengan sokongan suami.

“Bagi saya, PKP bukanlah tempoh buat anak yang dikatakan oleh sesetengah orang, malah inilah masanya untuk saya mengembangkan bisnes di rumah di samping menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga.

“Dalam tempoh ini juga, saya mula menjual Bahulu Borneo hasil air tangan saya sendiri. Alhamdulillah.. Ramai yang suka sehingga saya tidak menang tangan.

“Bahulu Borneo ini adalah resipi turun temurun nenek moyang saya di Sabah. Saya memang jual bahulu ini dulu sebelum menjadi penyanyi.

“Selain bahulu, saya turut menawarkan penghantaran makanan berlauk masakan saya sendiri. Setiap hari menunya berbeza-beza,” kata Ayu Damit atau nama sebenarnya Norayu Damit,31.

Ayu yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu ini juga menjalankan bisnes cili padi mentah dan cili padi jeruk yang diusahakan bersama suami.

Hasil perkahwinan dengan suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin,33, mereka kini dikurniakan tiga orang anak iaitu Syef Nasrul Haikal,11, Syarifah Alya Adriana,9 dan Syed Aqif Najmi,5. -WILAYAHKU

 

CATEGORIES
TAGS